Arkib Utusan Online : 12/08/12
Ada yang beranggapan bahawa amalan berpuasa
mempunyai kesan buruk kepada pesakit jantung. Andaian ini dikaitkan
jangka masa waktu makan yang agak singkat diikuti solat tarawih yang
agak intensif selepas berbuka puasa yang menguji tahap kemampuan fizikal
seseorang pesakit tersebut.
Satu kajian populasi secara retrospektif yang dilakukan di sebuah
hospital rujukan utama di Qatar untuk jangka masa 10 tahun (1991-2001)
melibatkan hampir 21,000 pesakit jantung koronari menunjukkan secara
objektif bahawa tidak ada peningkatan dalam kadar insiden serangan
jantung koronari mengejut atau angin tak stabil ketika Ramadan jika
dibandingkan dengan bulan-bulan lain.
Dalam kajian populasi di hospital yang sama, ia menunjukkan bahawa
tidak ada peningkatan dalam kekerapan kemasukan ke hospital akibat
serangan kegagalan atau lemah jantung serta tiada peningkatan kematian
yang ketara akibat kegagalan jantung sepanjang bulan ini.
Kajian juga menunjukkan amalan berpuasa tidak menunjukkan peningkatan
dalam kadar insidens serangan strok atau angin ahmar berbanding dengan
bulan-bulan lain.
Umumnya, kita telah sedia maklum bahawa
faktor-faktor risiko utama yang menyebabkan serangan penyakit jantung
koronari adalah paras kolesterol yang tinggi, amalan merokok, penyakit
diabetes atau peningkatan gula darah yang tidak terkawal, penyakit darah
tinggi atau tekanan darah yang tidak stabil dan berat badan yang
berlebihan (obesiti).
Secara logiknya, amalan berpuasa seperti yang telah ditunjukkan di
dalam banyak kajian saintifik terbukti mampu mengurangkan berat badan
yang akan mempengaruhi paras kolesterol darah terutamanya dalam
menurunkan kolesterol yang tidak baik (LDL) dan meningkatkan paras
kolesterol baik (HDL) yang boleh mengurangkan risiko serangan jantung
koronari. Biasanya seseorang perokok tegar akan mengurangkan tabiat
merokok ketika Ramadan dan ini secara langsung membantu mengurangkan
risiko serangan jantung.
Dengan penurunan berat badan, amalan berpuasa sudah tentu akan
memberi banyak manfaat terutamanya dalam pengurangan paras gula darah.
Jika mengikut nasihat yang betul, kawalan penyakit diabetes akan
menjadi lebih baik tanpa meningkatkan insiden akibat komplikasi
kekurangan gula dalam darah (hipoglisemia).
Beberapa kajian di negara Asia Barat
menunjukkan bahawa amalan berpuasa dalam bulan Ramadan selamat untuk
pesakit darah tinggi yang meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti
biasa sama ada waktu sahur atau berbuka. Dengan adanya ubat-ubatan yang
memberi kesan berpanjangan selama 24 hingga 36 jam di pasaran dan dos
sekali sehari, ia banyak membantu umat Islam meneruskan amalan berpuasa
tanpa perlu bimbang dengan kekurangan pengambilan ubat-ubat boleh
memudaratkan penjagaan kesihatan mereka.
Penyakit jantung koronari adalah penyebab kematian yang utama secara
global terutamanya di negara-negara sedang membangun termasuk negara
kita. Mekanisme penyakit ini memang kompleks yang melibatkan proses
inflamatori, hemostatik dan reaksi salur darah di dalam tubuh badan
kita. Proses inflamatori ini memainkan peranan penting dalam
aterotrombosis atau mekanisme berlakunya penyempitan akibat plak
kolesterol dan seterusnya boleh menyebabkan berlaku penyumbatan serius
(thrombosis) terhadap salur darah koronari jantung.
Dengan kemajuan sains perubatan terkini, pengamal perubatan boleh
mengukur penanda aras inflamatori tersebut dengan mengukur paras high sensitivity C-reactive protein (hs-CRP) dan plasminogen activator inhibitor jenis-1 (PAI-1) dalam sampel darah manusia.
MembantuParas hs-CRP dan PAI-1 dapat membantu pakar
perubatan meramalkan risiko seseorang mendapat serangan jantung koronari
terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes, darah tinggi,
kolesterol darah yang tinggi dan mempunyai masalah berat badan
berlebihan (obesiti). Kumpulan pesakit ini memang diketahui umum
berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari terutamanya jika
faktor-faktor tersebut tidak dirawat atau dikawal secara optimum.
Sekumpulan penyelidik di Pusat Perubatan UKM telah membuat kajian
prospektif pada Ramadan 2008/2009 yang melibatkan 121 subjek berumur 40
tahun ke atas yang mempunyai pelbagai faktor risiko penyakit jantung
koronari. Tujuan utama kajian ilmiah ini adalah untuk menilai kesan
amalan puasa terhadap paras hs-CRP dan PAI-1 dalam sampel darah
pesakit-pesakit yang mempunyai beberapa faktor risiko penyakit jantung
koronari.
Hasil kajian tersebut menunjukkan paras hs-CRP dan PAI-1 semasa bulan
Ramadan didapati menurun secara ketara jika dibandingkan dengan
parasnya sebelum Ramadan. Kajian ini sangat menarik dan agak konsisten
dengan hasil beberapa kajian terdahulu yang dilakukan oleh penyelidik
dari luar negara. Penurunan paras hs-CRP dan PAI-1 akan memberikan kesan
positif dalam mengurangkan risiko serangan jantung koronari serta dapat
mengelakkan kematian.
Pada masa sama, kajian yang melibatkan etnik Melayu Islam ini juga
mendapati berlaku penurunan paras LDL dan peningkatan paras HDL yang
ketara semasa bulan Ramadan. Perubahan positif profil kolesterol darah
ini berkemungkinan disebabkan oleh pengurangan pengambilan diet tinggi
lemak dan protein dalam diet semasa berbuka puasa, sebaliknya masyarakat
Islam di Malaysia kebiasaannya akan mengambil diet berkarbohidrat
tinggi seperti minuman, buah tamar dan kuih-muih yang manis.
Bagaimanapun, kita tetap digalakkan mengambil diet makanan seimbang
semasa berbuka puasa kerana trend pengambilan diet berkarbohidrat tinggi
akan mengundang masalah kesihatan lain seperti diabetes tak terkawal
dan boleh menghilangkan manfaat yang didapati hasil pengurangan berat
badan semasa berpuasa selama sebulan.
Kesimpulannya, ibadah puasa yang kita lalui saban tahun demi
menunaikan perintah Allah jelas sekali tidak menyebabkan seorang Muslim
itu terdedah kepada risiko serangan jantung jika kita melaksanakan
amalan ini dengan kefahaman ilmu dan mendapat nasihat yang betul
daripada mereka yang arif dengan ilmu perubatan. Justeru pesakit
digalakkan supaya sentiasa proaktif serta berbincang secara individu
dengan pengamal-pengamal perubatan berdaftar yang merawat mereka tentang
penjagaan masalah kesihatan dan pengubahsuaian corak pengambilan
ubat-ubatan terutamanya bagi yang menghidap penyakit jantung, diabetes
dan darah tinggi.
Sebaik-baiknya, perbincangan antara doktor dan pesakit mengenai
perubahan dalam dos dan jadual pengambilan ubat-ubatan untuk penyakit
kronik dapat dilakukan beberapa minggu sebelum seseorang itu menjalani
ibadah puasa bagi mengurangkan kesulitan semasa berpuasa wajib nanti.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan